InsyaAllah.....

Saturday, October 31, 2009

SESUGGUHNYA ALLAH SWT TELAH BERSUMPAH DENGAN MASA...

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 33-34: Maksudnya:
"Dan Dia telah menundukkan bagi kamu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia telah memberi kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepada-Nya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya."

Kejayaan seseorang itu bergantung kepada usahanya ke arah menyempurnakan segala tanggungjawab dalam pelajaran, dakwah, keluarga dan masyarakat. Seseorang itu mungkin sibuk dalam kehidupannya dengan berbagai-bagai tugas dan tanggungjawab. Namun, dalam menyusun atau memprogramkan kehidupan, seharusnya dia mengawal setiap aktivitinya agar seimbang, seperti mengambil perhatian terhadap study, menyempurnakan kerja-kerja dakwah dan jemaah, berinteraksi dengan masyarakat dan mewujudkan suasana yang solihah dalam rumah (keluarga).

Secara umumnya, pengurusan diri yang baik adalah berhubungkait dengan :

1) Perancangan yang rapi
2) Pengurusan yang teratur
3) Pemikiran yang tajam
4) Pengawalan yang bijaksana

Soal pengurusan diri telah pun ditekankan sejak kewujudan manusia itu sendiri. Seluruh para nabi serta ayat-ayat Al-Quran banyak mangajar kita tentang perkara ini.

Mari kita fokuskan perbincangan pada pembentukan peribadi yang bijak mengatur dan memikirkan urusan hidupnya dalam lingkungan masa yang terhad dalam dunia hari ini.

Kedudukan masa dalam Islam

Untuk menjelaskan betapa pentingnya masa, Allah Taala telah bersumpah mengenainya dalam beberapa permulaan surah di dalam Al-Quran. Antaranya ialah:

1) Surah Al-Lail ayat 1-22), Surah Al-Fajr ayat 1-23), Surah Ad-Dhuha 1-24), Surah Al-Asr ayat 1-2.

Mengikut ulamak tafsir bahawa bilamana Allah bersumpah dengan sesuatu dari kejadianNya, itu adalah bertujuan untuk menarik perhatian manusia terhadapnya (makhluk itu) dan ingin mengingatkan akan faedah dan kesannya terhadap manusia.

Kemudian datang pula sunnah menguatkan lagi tentang kepentingan masa. Antaranya:

لن تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسئل عن أربع خصال : عن عمره فيما افناه ، وعن شبابه فيما أبلاه ، وعن ماله من اين اكتسب وفيما انفقه ، وعن علمه ماذا عمل به


Demikian manusia disoal tentang umurnya secara umum dan diikuti pula tentang zaman mudanya secara khusus, yang mana zaman muda itu adalah satu juzuk daripada umur.

Imam Al-Banna pula dalam salah satu dari wasiatnya ada menyebut tentang waktu dalam kehidupan seorang petugas Islam. Katanya:

الواجب اكثر من الأوقات
Kewajiban itu lebih banyak daripada waktu

Di sana juga ada beberapa pepatah arab tentang masa. Antaranya:

الوقت كا لسيف ان لم تقطعه قطعك. من كا ن يومه كأمسه فهو مغدون ومن كا ن يومه شرا من أمسه فهو ملعون


Masa itu ibarat pedang, jika engkau tidak mencantasnya, nescaya ia akan mencantasmu

Barang siapa yang hari ini sama saja dengan semalamnya maka ia seorang yang rugi, dan barangsiapa seorang yang hari ini lebih teruk dari semalamnya maka ia seorang yang dilaknat

Perancangan Yang Rapi

Bertitik tolak dari Al-Quran dan Sunnah serta ungkapan tadi, dapatlah disimpulkan bahawa perancangan yang rapi adalah merupakan intipati kejayaan diri seseorang induvidu dalam hidup.

Rasulullah SAW membahagikan masanya secara cermat. Sebahagian untuk orang umum, sebahagian untuk orang-orang khusus, sebahagian beribadah kepada Allah dan sebahagian untuk keluarga.

Imam Al-Ghazali merancang masa malamnya dengan membahagikan kepada tiga bahagian yang umum iaitu 1/3 untuk mentelaah kitab, 1/3 untuk beribadah dan 1/3 untuk tidur.

Penyusunan / Pengurusan Yang Teratur

Masa perlu diurus kerana

:a) Untuk mengawal masa:
Dengan adanya jadual waktu, masa anda selama 24 jam sehari semalam dapat digunakan semaksima yang mugkin. Anda dapat mengelakkan diri anda dari membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak banyak memberi faedah.

b) Menjimatkan masa, usaha dan tenaga.
Dengan adanya jadual bertulis, anda akan menyedari kerja-kerja yang perlu diselesaikan satu-persatu secara terancang.

c) Melatih menggunakan waktu secara matang.
penjadualan waktu akan melatih anda menggunakan masa yang ada secara terancang untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia juga akan melatih anda mendahulukan perkara-perkara yang terpenting dari yang kurang penting.

d) Mengelakkan berlakunya "symptoms" kelam kabut.
'Symptoms' ini sering berlaku dalam keadaan yang terlalu banyak tanpa penyusunan yang rapi dan meletakkan diri dengan berbagai-bagai tugas sebagai amalan biasa.

Tabiat Kita

Di antara kelemahan yang wujud di kalangan kita ialah kegagalan menyusun dan menguruskan masa dengan baik. Apabila perkara ini berlaku, banyak tanggungjawab dan tugas tidak dapat dilaksanakan.

Di antara punca kegagalan ialah sikap suka melengah-lengahkan masa.Antara sebabnya ialah :

1. Kita meyakinkan diri bahawa kita masih ada banyak masa. Biasanya keadaan ini akan membebankan pekerjaan yang mudah hingga tidak mampu dikerjakan lagi kemudiannya.

2. Kita tidak nampak kepentingan sesuatu pekerjaan itu. Ini mungkin kerana hasilnya terlalu jauh untuk kita bayangkan. Oleh itu, kerapkali kita menganggap pekerjaan begini kurang mustahak.

3. Tiada desakan atau tekanan untuk menyempurnakan tugas tersebut. Ada di antara kita hanya akan bekerja setelah didesak oleh sesuatu.

4. Tugas itu kita rasakan terlalu sukar, remeh atau tidak enak untuk dikerjakan segera.

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengatasi tabiat suka berlengah-lengah ini:

1. Di antara perkara yang paling asas dalam pengurusan masa ialah menyedari bahawa hidup kita ini ialah dengan tujuan mengabdikan diri kepada Allah. Mereka yang lalai dan suka berlengah- lengah tidak dapat memenuhi tujuan ini.
Firman Allah Taala dalam surah Al-Mukminum ,ayat 115:Maksudnya:

"Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan bahawa kamu tidak dikembalikan kepada Kami?".

2. Al-Quran sendiri menyarankan orang-orang yang inginkan akhirat supaya bersegera mencari keredhaan Allah dan juga berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan di akhirat.

Firman Allah Taala dalam surah Ali- Imran ,ayat 133:Maksudnya:
"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa."

3. Buatkan satu jadual tugas dan patuhi jadual tersebut. Belajarlah bekerja berpandukan jadual tersebut dan cuba untuk tidak melanggarinya.

4. Amalkan disiplin diri. Anggapkan segala tugas adalah mustahak dan perlu diselesaikan segera.

5. Catitkan kerja-kerja yang terbengkalai dan tentukan tarikh baru untuk memulai dan menyelesaikannya.

6. Belajar menilai hasil tugas. Tentukan sama ada tugas itu berfaeadah atau tidak. Jika tidak berfaedah, eloklah ditinggalkan sahaja.

Teknik Pengurusan Masa

Senaraikan aktiviti harian anda yang dibuat (things to do).
Dengan adanya suatu aktiviti harian yang lengkap untuk masa satu minggu, anda akan dapat memperuntukkan untuk setiap aktiviti tersebut mengikut waktu yang munasabah.

b) Menyusun jadual (things to do) mengikut "priority". Pastikan anda mengkhususkan waktu-waktu untuk tugasan penting dan meletakkan aktiviti yang lain pada waktu yang anda rasa berkelapangan.

c)Pastikan perkara-perkara berikut sewaktu menyusun jadual aktiviti mingguan anda:

i. waktu bangun tidur
ii. waktu makan
iii.bekerja
iv. waktu berorganisasi
vi. waktu ziarah
vii. waktu tidur
viii.aktiviti hujung minggu

d)Mengatur "things to do" dalam tiga kategori:

1. perkara yang mesti dibuat (must do)
2. perkara yang sepetutnya dibuat (should do)
3. perkara yang mungkin dibuat (might do)

e)Setelah diteliti dan diambilkira kesemua aktiviti dan masalah di atas, maka barulah dipindahkan jadual aktiviti tersebut kepada suatu jadual sebenar.

Pemikiran Yang Tajam

Perkara yang perlu diambilkira:

a) Kita hanya mempunyai beberapa jam dalam sehari.
b) Kita hanya memiliki tenaga fizikal dan mental yang terhad dalam sehari yang boleh digunakan.

Oleh itu, dengan menumpukan tenaga dan usaha dalam priority yang terancang akan memastikan tenaga yang terbuang dengan sia-sia menjadi semakin berkurangan.Beberapa persoalan untuk diri sendiri:

a) "Apakah yang akan berlaku sekiranya perkara ini tidak dilakukan langsung?" Jika jawapannya "Tidak ada apa-apa yang akan berlaku"- maka STOP!!"

b) "Perkara yang manakah dalam senarai aku yang boleh dilakukan oleh orang lain dalam standard yang sama atau lebih baik lagi?" Jika jawapannya "Ada" – Serahkan kepada orang lain!!!

Pengawalan Yang Bijaksana

Pengawalan yang kemas dan bijaksana akan menentukan berjaya atau gagalnya urusan harian kita. Sifat tegas dan berpegang kepada perencanaan dalam peringkat ini sangat penting. Kelalaian dalam ketegasan ini akan menyebabkan:

a) perkara yang tidak siap
b) banyak berlaku perkara yang tidak jadi
c) urusan yang banyak tangguhd) fikiran pening dan fizikal yang letih

Penutup

Islam telah mengajar kita dalam persoalan ini sejak bermulanya dakwah itu sendiri. Malangnya, umat Islam pada hari ini mengabaikan rasa tanggungjawab untuk menguruskan kehidupan dengan teratur disebabkan kelalaian mereka sendiri. Akibat daripada itu:

a) umat Islam mundur dalam kemajuan moden
b) Barat mengambil konsep ini dan seterusnya mencanggihkan pendetailannya dalam kehidupan mereka.
c) Kita terpaksa akur dengan kebolehan mereka dengan mengambil beberapa konsep dan model yang terbukti kejayaannya
d) Menterjemahkannya semula kepada konsep tersebut dalam kehidupan mengikut penyesuaian kita.

Hadis Rasulullah SAW:
نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ
Dua nikmat yang dilalaikan oleh kebanyakan manusia adalah, kesihatan dan kelapangan

Renung renungkan lah....

Friday, October 30, 2009

BAHASA CINTA RASULULLAH SAW TERHADAP ISTERINYA

“SUAMI saya tidak pandai melayan saya,” Itu adalah antara keluhan yang sering diluahkan oleh seorang isteri tentang kekakuan sang suami.

Kemesraan yang wujud dalam hubungan antara suami dan isteri akan menjadikan kehidupan rumahtangga terasa indah dan nikmat.Namun bagaimanakah untuk menimbulkan kemesraan itu....

Salah satu ejen penting bagi mewujudkan kemesraan adalah cara berkomunikasi. manusia biasa menggunakan dua jenis simbol dalam berkomunikasi, iaitu simbol lisan dan bukan lisan.

Menurut penelitian Profesor Birdwhistell, nilai keberkesanan simbol lisan berbanding bukan lisan adalah 35:65. Justeru, simbol bukan lisan lebih berkesan dalam menyampaikan pesanan dan penzahiran kasih sayang.

Bermesraan adalah upaya suami isteri untuk menunjukkan saling kasih sayang dalam bentuk lisan.

Sentuhan tangan dan gerak tubuh lainnya, adalah termasuk simbol bukan lisan ketika suami berkomunikasi dengan isterinya.

Justeru, komunikasi lisan semata-mata belumlah berkesan jika belum disertai oleh komunikasi bukan lisan.

Rasulullah saw juga membawakan teladan peri pentingnya bermesraan dengan isteri. Bahasa cinta Rasulullah kepada isterinya banyak digambarkan dalam bentuk bukan lisan hingga baginda mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Tidur dalam satu selimut bersama isteri

Ini tercermin dalam hadis beriku: Daripada Atha' bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah dan Aisyah biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika beliau sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya: “Mengapa engkau bangkit?” Jawabnya: “Kerana saya haid, wahai Rasulullah.”

“Sabdanya: “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali kepadaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama baginda.” (Hadis riwayat Sa'id bin Manshur)

Memberi wangi-wangian pada auratnya

Aisyah berkata: “Sesungguhnya Nabi apabila meminyakkan badannya, baginda memulakan dari auratnya dan menyapunya dengan nurah (sejenis bubuk pewangi) dan isterinya meminyakkan bahagian lain seluruh tubuhnya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Mandi bersama isteri

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Aku biasa mandi bersama dengan Nabi dengan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana).” (Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Disisir rambutnya oleh isteri

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Saya biasa menyisir rambut Rasulullah, saat itu saya sedang haid.” (Hadis riwayat Ahmad).

Meminta isteri meminyakkan badannya

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Saya meminyakkan badan Rasulullah pada Aidiladha selepas baginda melakukan jumrah 'aqabah.” (Hadis riwayat Ibnu 'Asakir)

Minum bergantian pada tempat yang sama

Daripada Aisyah, beliau berkata : “Saya biasa minum daripada cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut saya.

“Lalu baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya. Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya.” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur)

Membelai isteri

“Adalah Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri hingga beliau singgah ke tempat isteri yang beliau giliri waktunya, lalu baginda bermalam di tempatnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tidur di pangkuan isteri

Daripada Aisyah, beliau berkata: “Nabi biasa meletakkan kepalanya pada pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca al-Quran.” (Hadis riwayat 'Abdurrazaq)

Memanggil dengan kata-kata mesra

Rasulullah biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang disukainya seperti 'Aisy dan Humaira (pipi merah delima).

Mendinginkan kemarahan isteri dengan mesra.

Rasulullah biasa memicit hidung Aisyah jika beliau marah dan berkata: “Wahai 'Uwaisy, bacalah doa: 'Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku, dan lindungilah diriku daripada fitnah yang menyesatkan.” (Hadis riwayat Ibnu Sunni)

Memberikan hadiah.

Daripada Ummu Kaltsum binti Abu Salamah, beliau berkata: “Ketika Nabi bernikah dengan Ummu Salamah, baginda bersabda kepadanya, 'Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi meninggal dunia dan aku mengira hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.”

Beliau (Ummu Kultsum) berkata: “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah dan hadiah itu dikembalikan kepada baginda, lalu baginda memberikan kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian itu beliau berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Begitu indahnya kemesraan Rasulullah kepada isterinya. Ia memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan komunikasi bukan lisan kerana bahasa tubuh ini akan lebih berkesan menyatakan cinta dan kasih sayang di antara suami isteri.

Thursday, October 29, 2009

TIPS PENGURUSAN KEWANGAN YANG BAIK

Perkara yang perlu dilakukan



1. Rancang perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan setiap keperluan isi rumah agar tidak berlaku defisit budjet dalam keluarga kita.



1. Berbelanjalah kita ikut kemampuan “ukur baju di badan sendiri”, tanpa mengira cara dan gaya hidup mewah yang diamalkan oleh rakan dan sahabat. Keutamaan dan fokus utama ialah berbelanja untuk memenuhi keperluan dan bukan kemewahan…..



1. Melakukan perbelanjaan secara tunai. Apabila membuat pembelian barangan dapur, eletrik, perkakas rumah mestilah dibuat secara tunai supaya kita akan dapat mengelakkan daripada dikenakan faedah dan berbelanja lebih daripada kemampuan.



1. Menabung untuk hari tua, apabila kita sudah bersara kita memerlukan wang untuk perbelanjaan harian jadi sudah pasti kita dalam keadaan yang sudah berusia tidak mahu lagi bekerja bahkan hanya memfokuskan kepada bekalan di akhirat kelak. Tabungan kita akan menjadi sumber kewangan kita terutamanya dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.



1. Menabung untuk waktu kecemasan. Kita perlu menabung untuk perbelanjaan sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan sebagai persediaan jika berlaku kes-kes kecemasan seperti kereta rosak, diberhentikan kerja atau pun ditimpa kemalangan. Tabungan berinsurans seperti takaful perlu diutamakan bagi mendapatkan faedah kebajikan yang optimum.



1. Melabur dalam mana-mana institusi pelaburan dan perbankan yang dijamin oleh kerajaan dan berdaftar dengan Bank Negara. Melabur dalam koperasi juga boleh mendatangkan kebaikan jika koperasi yang disertai menawarkan banyak kemudahan kepada ahli.



1. Kita hendaklah menyimpan rekod kewangan dengan baik supaya mudah hendak dirujuk ketika diperlukan.







Perkara yang perlu dijauhkan



1. Gagal dalam merancang kewangan.



1. Boros dan mewah dalam berbelanja.



1. Menggunakan kad kredit secara berlebihan.



1. Melabur di dalam institusi yang tiada jaminan kerajaan ataupun tidak berdaftar dengan Bank Negara.



1. Berhutang untuk mendapatkan sesuatu. Kita hanya boleh berhutang jika dalam keadaan benar-benar perlu atau kita mampu untuk membayarnya mengikut kadar dan masa yang ditetapkan.



1. Terlalu memikirkan berkenaan kewangan dan cara menambah kekayaan sehingga melupakan kepentingan nilai-nilai kekeluargaan yang boleh membawa kepada runtuhnya rumahtangga.

Tuesday, October 27, 2009

CINTA ANTARA PLANET

Abu Saif | 09/09/2007 | 11:19 pm | 10,719 views | Print Print | Email Email

p9170216.JPG

“Sempena saya nak berumahtangga ni, apa kitab yang ustaz nasihatkan saya baca?”, tanya seorang anak muda kepada saya.

“Kalau ustaz cadangkan buku, boleh? Bukan kitab”, saya mengusik.

“Sama sahaja tu ustaz. Satu Bahasa Arab, satu Bahasa Malaysia”, beliau membalas.

“Bukan apa, susah orang nak terima kalau Men Are From Mars, Women Are From Venus oleh John Gray tu sebagai ‘kitab’!”, saya menyambung.

“Ustaz suruh saya baca buku tu? Kenapa?”, tanyanya seperti terkejut.

“Itulah, ustaz dah cakap, mesti anta terkejut punya”, saya tersenyum.

“Kenapa ustaz tak cadangkan saya baca buku Adab Perkahwinan oleh al-Albani ke, atau buku Tarbiyyah al-Aulaad fi al-Islaam oleh Abdullah Nasih Ulwan?”, beliau menyambung pertanyaan.

“See, kalau ustaz sebut kitab-kitab tu, anta pun dah tahu dan faham kenapa buku tu perlu dibaca. Tapi buku John Gray ni, kalau ustaz tak sebut, rasa-rasanya anta terfikir tak untuk membacanya?”, saya menguji.

“Hmm, entahlah. Mungkin tak kot”, jawabnya perlahan.

Apabila adik-adik meminta nasihat tentang perkahwinan, saya tidaklah begitu bimbang dengan soal hukum. Terutamanya bagi mereka yang sudah biasa dengan usrah, program-program agama dan bahan-bahan bacaan berkaitan yang pelbagai. Soal hukum-hakam, kita tahu di mana hendak bertanya, dan bagaimana hendak menyelesaikannya.

Tetapi rumahtangga bukan terbina hanya atas kejelasan soal hukum fiqh. Malah jarang benar saya berbual dan berkongsi kisah tentang rumahtangga, membabitkan soal hukum. Hukum yang Syariatullah itu jelas dan cerah.

Namun ketetapan Allah bukan hanya sekadar pada apa yang halal dan apa yang haram. Hidup ini bukan hanya pada Syariatullah. Manusia saling berhubung dengan Sunnatullah. Psikologi manusia dan peraturan komunikasi.

Inilah yang menjadikan saya senang mencadangkan buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray itu. Buku itu adalah hasil kaji selidik (survey) yang membabitkan jumlah manusia yang ribuan. Ia adalah kajian tentang tabiat manusia.

johngray.jpg

Kali pertama saya mengenal buku ini ialah pada tahun 2000 iaitu pada ulangtahun pertunangan saya yang pertama. Tunang saya ketika itu mengepos buku ini jauh dari Ireland ke London, dengan meletakkan harapan agar saya membaca dan menghayatinya. Semasa buku itu saya terima, senget juga wajah saya membaca tajuknya.

“Buang tebiat ke ni? Buku apa ni?”, saya mengomel sendirian semasa membuka bungkusan pos.

“Ustaz kena baca buku tu. Besar harapan Kak Muna tu”, kata Nasreel, housemate saya ketika itu.

Selembar demi selembar saya belek. Ternyata buku itu sungguh mengenyangkan. Mengenyangkan emosi dan fikiran saya, tentang betapa perlunya saya belajar tentang manusia. Khususnya insan yang bakal berkongsi kehidupan dengan saya hingga ke hujung usia.

APA YANG SAYA BELAJAR

Lelaki dan perempuan nyata berbeza. Ungkapan klasik al-Ghazzali dalam isu yang sama menyebut, “lelaki itu 9 akal dan 1 nafsu manakala perempuan pula 9 nafsu dan 1 akal”. Terjemahan itu telah mengelirukan saya walhal soal hawa nafsu, lelaki tidak mudah dibezakan dengan perempuan.

Selepas membaca tulisan John Gray, saya mengubah kefahaman saya terhadap kata-kata al-Ghazzali itu. Ungkapan beliau sepatutnya diterjemahkan kepada “LELAKI ITU 9 LOGIK DAN 1 EMOSI, PEREMPUAN PULA 9 EMOSI DAN 1 LOGIK“.

Fikiran, keputusan dan tindakan seorang lelaki banyak dipengaruhi oleh logik dan rasional akal. Lelaki lebih selamat untuk dipertanggungjawabkan pada urusan-urusan yang perlu diputuskan dengan rasional dan bukan emosi. Maka saya akur pada ketetapan Allah yang menyerahkan persoalan Talaq di tangan lelaki. Maka lelaki yang lemah rasional dan sering emosional dalam kehidupan, adalah lelaki yang kurang kelelakiannya.

Namun, lelaki lemah emosi. Kelemahan itu menjadikan lelaki kurang sensitif dalam membaca bahasa emosi perempuan. Kekurangan daya emosi itu juga mungkin menjadi punca lelaki sukar melakukan perkara rutin dalam sebuah rumahtangga. Tanya sahaja seorang perempuan, berapa kali dalam hidupnya dia menyapu sampah, membasuh tahi di punggung anak, mengemas rumah dan memasak. Perempuan boleh melakukannya dengan rasa sejuk dan biasa, manakala lelaki terpaksa bermujahadah untuk membiasakan diri dengannya.

Perempuan yang dikurniakan Allah dengan kekuatan emosi berbanding logik dengan nisbah 9:1, menjadikan mereka guru terbaik pada membentuk anak-anak, khususnya di peringkat pra sekolah.

HUBUNGAN SUAMI – ISTERI

Akan tetapi, nasihat dan pandangan John Gray lebih saya aplikasikan kepada hubungan di antara suami dan isteri. Iaitu dua insan yang sangat perlu untuk saling memahami. Faham secara empathy dan cuba meletakkan diri di pihak pasangan.

Apabila isteri meluahkan pandangan, mengadu atau berleter tentang sesuatu perkara, amat perlu untuk seorang suami faham, bahawa tindakan itu selalunya bukanlah bertujuan untuk meminta pandangan dan idea kita ke arah penyelesaian. Sesekali ya, tetapi lazimnya tidak. Isteri-isteri sering begitu kerana mahukan perhatian. Mahukan layanan emosi dan bukti keprihatinan kita.

Maka janganlah pula suami terlalu cepat atau asyik mahu mencadangkan penyelesaian. Masalah-masalah itu sering boleh selesai hanya dengan kesediaan suami untuk menyayangi, atau dalam bahasa mudah… memujuk!

Namun ketahuilah wahai sang isteri, bahawa ia bukanlah suatu yang mudah bagi seorang lelaki. Makhluk yang gersang emosi dan kaya logik itu.

“Maafkan abang, andai diri ini tidak bijak menjadi pemujuk”, itulah suara hati saya semasa muhasabah diri tentang sikap saya terhadap isteri.

Saya tahu yang saya kurang pandai memujuk. Kekadang kaku dalam menunjukkan keprihatian. Malah sering juga tanpa disengajakan, memperkecilkan keluhan isteri… lantaran menilai keluhan itu dengan logik dan rasional diri sebagai lelaki.

“Masalah macam itu pun nak besar-besarkan”, itulah agaknya kesimpulan hati saya dan kebanyakan suami semasa mendengar pengaduan isteri.

Walhal isu itu besar… jika kita melihatnya dari sudut emosi, sebagaimana sudut isteri melihat dan menyuarakan isi hati. Maka nilaikanlah permintaan isteri dengan pertimbangan emosi, biar pun ia hanya secebis dari kemahiranmu sebagai lelaki.

“Maafkan abang!”, sekali lagi saya rasa bersalah. Salah bagi seorang suami, menilai isteri dengan penilaian lelaki yang gersang emosi.

BAGI SI ISTERI

Manakala bagi sang isteri, fahamilah jua bahawa suamimu berfikir dengan cara yang berbeza. Keputusannya banyak oleh pertimbangan akal, sesuai dengan bahu dan tangannya yang berat memikul tanggungjawab. Apabila suami bertanya, dia mahukan pandangan. Dia mudah rimas jika ruang berbincang diisi dengan esakan, tangisan, dan bukannya buah fikiran. Suami mencari penyelesaian, bukan sekadar perhatian dan perasaan.

Sama ada isteri itu seorang suri rumah, atau kerani, cikgu mahu pun doktor dan jurutera, nalurinya adalah naluri wanita. Kaya emosi dan mungkin kurang berminat dengan rasional dan justifikasi.

BELAJARLAH UNTUK SALING MEMAHAMI

Di sinilah perhargaan saya kepada buku Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray kerana ia mengajar saya dan isteri untuk saling faham memahami. Pelajaran dari dua planet ini juga mendidik kami untuk memberi ruang kepada rasional dan emosi masing-masing berfungsi dengan baik, sesuai dengan peranan dan tanggungjawab yang diberi Ilahi.

Hal ini jugalah yang dibahas dengan panjang lebar oleh Stephen Covey dalam Habit #5 beliau iaitu Seek First to Understand, Then to be Understood.

Peraturan-peraturan ini bukanlah rekaan penulis seperti Covey dan Gray, namun ia adalah hasil kajian mereka terhadap tingkah laku manusia. Iaitu sebahagian daripada Sunnatullah… peraturan Allah dalam hubungan sesama manusia.

pc121051.JPG

SUAMI, ISTERI DAN KAWAN

Kerana soal emosi dan logik tadi, saya cuba untuk memahami sesuatu.

Sering saya ketemu, isteri-isteri tidak begitu berminat atau komited lagi dengan persahabatan mereka. Biar pun mereka ada ramai best friends semasa anak dara, hingga tidur berkongsi bantal dan mimpi, namun selepas berkahwin dan beranak pinak, mereka tidak lagi serapat dulu. Tumpuan dan attachment mereka sangat tertumpu pada suami dan anak-anak.

“Kalau Yang nak gi kedai dengan kawan-kawan, do some shopping, Abi tak kisah pun. Take your time. I’ll mind the kids“, saya membuka tawaran kepada isteri.

Bukan apa, saya sering rasa bersalah kerana selalu terpaksa meninggalkan isteri. Mesyuarat, bekerja out station, ceramah, program dan macam-macam aktiviti luar, menyebabkan saya sering meninggalkan isteri dan anak-anak di rumah. Bukan bersuka-suka bercuti dan bercanda, tetapi tugas dan tanggungjawab yang menjadi punca.

Lantas, saya tidak keberatan jika isteri saya mahu mengambil sedikit ruang untuk beliau pergi menziarahi sahabat atau menghadiri kursus-kursus rasmi dan tidak rasmi. Waktu untuknya tanpa saya. Tetapi lazimnya isteri saya lebih prefer untuk berada di rumah. Dan sebahagian besar sahabat yang saya temui, mengakui hal ini.

Mengapa hal ini berlaku?

Oleh kerana perempuan kuat pada emosi, maka emosinya terpilih untuk hanya disuburkan oleh suami tercinta dan anak-anak. Kepuasan pada mengisi keperluan emosi hanya boleh diperolehi dari insan yang diberikan emosi itu iaitu suami dan anak-anak. Tidak ada apa sangat yang hendak dicari di luar sana.

Namun bagi si suami, kehidupannya banyak dipengaruhi oleh rasional kerana itulah alat utama beliau berperanan sebagai pemimpin keluarga. Mungkin kerana itu, saya merasakan bahawa, si suami perlu kepada rakan berbincang. Sesekali suami perlu mendapatkan pandangan ketiga. Dan kerana ini, seorang lelaki yang telah berkahwin, tetap menjaga hubungannya dengan rakan karib, kerana beliau perlu kepada input-input yang membantu beliau membuat keputusan… terutamanya ketika berkonflik dengan isteri dan keluarga.

Janganlah si isteri salah faham, dengan menyangkakan suami yang pergi kepada sahabat karib itu, telah membelakangkan dirinya. Lebih mengutamakan sahabat dari isteri sendiri. Lebih percaya kepada orang luar dari teman hidup yang dinikahinya.

Jangan begitu.

Suami pergi berjumpa dengan rakan karibnya dengan motif rasional. Mencari panduan dan penyelesaian. Sedangkan emosi, perasaan dan kasih sayangnya tetap teguh pada isteri dan anak-anak. Suami memerlukan rakan bukan untuk urusan emosi sebagaimana yang sering difikirkan oleh si isteri.

Emosi dan perasaan itu eksklusif dan hanya ada antara suami, isteri dan anak-anak. Namun keperluan mendapatkan input rasional, izinkan suami mencarinya dari seorang rakan, kerana hasil perbualan mereka, akan memulangkan kebaikannnya kepada kasih sayang antara suami, isteri dan anak-anak.

MERAIKAN PERBEZAAN

Saya yakin, jika setiap insan menghargai keunikan diri masing-masing, mengiktiraf kelebihan dan mengakui kelemahan, hidup kita akan seimbang. Bacalah buku Men Are from Mars, Women Are from Venus itu agar kita dapat belajar untuk saling memahami. Dengan bekalan Syariat Allah dan Sunnatullah… sempurnalah perjalanan sebuah rumahtangga.

istakmala.JPG

“Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki” (Al-Hadith)

“You complete me“, itulah realiti hubungan antara suami dan isteri.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur