InsyaAllah.....

Thursday, January 13, 2011

Mengenai lelaki yg Wanita Tidak Tahu

Semua mengetahui bahawa wanita dan lelaki itu amat berbeza daripada segala segi. Cuma, ada segelintir masyarakat khususnya wanita sengaja memandang sepi perbezaan yang nyata disedari mereka. Mungkin, golongan seperti ini perlu meneliti buku, For Women Only : What You Need to Khow About the Inner Lives of Men hasil tulisan Shaunti Feldhahn.

Menariknya, buku ini menceritakan tentang kebenaran yang mengejutkan berkaitan lelaki hasil temubual penulis bersama lebih seribu kaum Adam.

1. Lelaki lebih suka rasa dirinya tidak disayangi daripada berasa serba kekurangan dan tidak dihormati.

Para suami perlu tahu bahawa isteri mereka sebenarnya amat menghormati mereka tidak kira secara peribadi atau di khalayak ramai.

2. Lelaki akan bangga apabila mengetahui isteri mereka mempercayai dan mengagumi mereka. Kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn mendapati lelaki lebih suka melihat hilangnya perasaan sayang di hati isteri mereka daripada tidak dihormati oleh isteri masing-masing.

3. Kemarahan yang diluahkan lelaki dikatakan satu tindak balas yang sering dilakukan golongan itu apabila mereka berasa diri tidak dihormati oleh si isteri.

Apabila suami marahkan isterinya, dia mungkin tidak akan berkata, ‘Awak langsung tidak menghormati saya’. Tetapi, besar kemungkinan dia berasa terluka dengan salah satu perbuatan isterinya yang dianggap tidak menghormati dirinya sebagai suami dan itu merupakan satu penghinaan.4. Lelaki mempunyai perasaan tidak yakin pada dirinya sendiri.

Mereka selalu berasa takut kemungkinan dilukai dalam hidup – tidak hanya berkaitan kerja, tetapi juga di rumah iaitu dalam memainkan peranannya sebagai seorang suami. Mungkin, mereka tidak menyuarakannya, tetapi hakikatnya mereka memang mudah dilukai.

Penawarnya? Tentulah pengakuan. Bagi lelaki, pengakuan daripada si isteri adalah segala-galanya. Pengakuan yang tulen daripada si isteri (bukan pujian) membuatkan lelaki rasa lebih yakin dan terjamin dalam menjalani kehidupan harian mereka.

5. Lelaki sebenarnya rasa terbeban dengan statusnya sebagai pencari nafkah untuk keluarga.

Secara umumnya, tidak penting berapa gaji yang diperoleh si lelaki, ataupun isterinya memperoleh gaji yang lebih besar mahupun sedikit. Apa yang pasti, lelaki akan memikul bebanan untuk menyara keluarganya walaupun ia bukan pilihan hatinya.

Lelaki akan terikat dengan bebanan itu. Hakikatnya, perkara tersebut tidak akan lari meninggalkan fikiran lelaki dan keadaan itu akan memberi kesan pada perasaannya yang rasa seolah-olah terkurung.

Bagaimanapun, isteri memang tidak boleh membebaskan suami daripada bebanan itu, cuma mereka boleh membantu meringankan bebanan melalui kata-kata penghargaan, galakan dan sokongan.

6. Lelaki mahu lebih seks.

Ramai mungkin beranggapan lelaki mahukan lebih hubungan seks dengan isterinya disebabkan keadaan fizikal mereka (keperluannya) . Tetapi, apa yang mengejutkan, kajian yang dilakukan Shaunti Feldhahn menunjukkan bahawa alasan lelaki mahukan lebih seks kerana ingin rasa dihormati oleh isteri mereka. Lelaki cuma suka andai diri mereka diperlukan. Biasanya, memenuhi keinginan seks lebih menjurus kepada nafsu dan perasaan ingin disayangi oleh si lelaki.

Seks bukan hanya hubungan kelamin antara suami dan isteri tetapi lebih daripada itu. Apabila suami merasakan si isteri mengingini mereka secara seksual, ia amat memberi kesan pada keseluruhan kehidupan mereka. Ia membuatkan mereka lebih yakin dan bahagia. Namun, di sebaliknya wujud pula kesan negatif.

Apabila suami berasa dirinya ditolak, dia berpendapat isterinya bukan sahaja menolaknya daripada segi fizikal, tetapi menidakkan peranannya sebagi suami dan juga lelaki. Sebab itu, melakukan hubungan seks adalah satu keutamaan dalam perkahwinan dan ia juga sangat penting.

7. Lelaki bergelut dengan godaan mata.

Maknanya, majoriti besar kaum lelaki akan bertindak balas terhadap imej yang dilihat terutama berkaitan wanita. Dan, lelaki berkenaan bukan hanya mereka yang sememangnya bermata liar. Lelaki yang baik juga tidak terkecuali daripada memandang wanita yang memakai pakaian yang seksi dan menarik. Biarpun, pandangan itu hanya sekilas, imej tersebut akan tersimpan dalam fikiran lelaki dan ia akan kembali terbayang pada bila-bila masa.

8. Golongan Adam memang suka berasmara.

Namun, mereka sebenarnya ragu-ragu sama ada cara mereka itu romantik atau tidak. Hakikatnya, ramai lelaki sebenarnya tidak romantik, tetapi ia tidak bermakna mereka ingin berkeadaan begitu. Lelaki hendak juga menjadi romantik, tetapi mereka sangsi dengan keupayaan sendiri untuk melakukannya. Mereka sering dihantui perasaan ragu-ragu, berkemungkinan diri berhadapan dengan risiko yang memalukan dan kegagalan.

Bagaimanapun, isteri boleh membantu meningkatkan keyakinan suami untuk menjadi seorang yang romantik melalui galakan dan mentafsirkan semula hubungan asmara mereka.

9. Kaum lelaki amat mengambil berat tentang penampilan isterinya.

Kenyataan itu tidak bermakna semua suami ingin isteri mereka kelihatan seperti supermodel. Apa yang sebenarnya diingini lelaki hanyalah agar si isteri berusaha menjaga penampilan diri kerana ia amat bermakna buat mereka (suami). Malah, suami amat menghargai usaha si isteri yang cuba mengekalkan daya tarikan mereka.

10. Lelaki yang bergelar suami sememangnya mahu isterinya mengetahui bahawa dia amat sayangkan mereka.

Itu adalah maklum balas pertama yang diperoleh daripada lelaki yang ditemui penulis. Cuma, lelaki tidak yakin dengan keupayaan mereka untuk meluahkan perkara tersebut biarpun sebenarnya mereka amat mencintai isteri mereka. Lelaki memang ingin memberitahu atau memperlihatkan betapa sayang dan cintanya mereka kepada isteri masing-masing, tetapi mungkin anda perlu menunggu lama sedikit untuk melihat mereka melakukannya.

Susunan ROSMAWATI MION

Bahasa Isteri Yang Perlu Difahami Suami

Tanpa komunikasi yang betul keserasian rumah tangga sukar diwujudkan. Sikap isteri dalam keadaan tertentu sukar difahami suami. Dia akan terus berteka-teki dalam perkara itu namun tidak mahu berterus terang. Apabila isteri melakukan sesuatu perkara selalu disalahtafsirkan.

Mereka ini walaupun berkahwin setelah melalui proses perkenalan yang panjang, namun peluang yang ada itu tidak digunakan untuk saling mengenali hati budi masing-masing. Mereka terlupa untuk mempelajari kaedah komunikasi yang berkesan sebagai suami isteri.

Walaupun mereka bertunang bertahun-tahun, namun mereka tidak sempat untuk menilai apakah antara mereka ada perbezaan yang boleh saling lengkap melangkapi. Mereka terlupa untuk melihat keserasian pasangan secara lebih jelas.

Biasanya waktu berkawan mereka terlalu enjoy, hendak seronok sahaja. Semua yang ada pada kekasih masing-masing dilihat indah walaupun buruk. Pada waktu bertunang pula mereka asyik berbincang soal persiapan fizikal sahaja. Padahal jika mereka mengambil puluang itu untuk mengenali peribadi, perwatakan, dan isi budi masing-masing adalah lebih bermanfaat.

Sebenarnya, sewaktu berkawan dan bertunang adalah waktu terbaik untuk mereka mengenali semua itu. Mereka harus mengenali cara pasangannya bercakap, cara dia bertindak dan sebagainya. Semua yang dilakukan itu melambangkan sikapnya sebenar. Jika mereka benar-benar faham, banyak yang boleh diatasi semasa berkahwin.

Kesan daripada tidak faham kaedah komunikasi yang berkesan itu, banyak pasangan yang berkahwin mengalami krisis. Sikap isteri tidak difahami oleh suami hingga kadang-kadang perkara kecil menjadi besar. Dalam ruang ini saya cuba paparkan sikap isteri yang seharusnya suami tahu dan bertindak bagi mengatasinya.


1. Waktu merajuk

1 - Sikap: Tiba-tiba tak mahu bercakap
Maksudnya: Dia tidak suka dengan tindakan suami sebelum itu
Mengatasinya: Berterus terang maksud tindakan, jika perlu minta maaf

2 - Sikap: Tiba-tiba marahkan suami
Maksudnya: Dia cemburu dengan tindakan suami
Mengatasinya: Perlu selidek puncanya, mungkin salah sangka. Jika pasti, berterus terang, bukan menipu

3 - Sikap: Tiba-tiba menangis
Maksudnya: Dia sakit hati dengan tindakan suami
Mengatasinya: Beri penjelasan isu yang ditimbulkan. Beri keyakinan tentang kasih sayang.

4 - Sikap: Tidak mahu memberi khidmat
Maksudnya: Dia sungguh kecewa dengan sikap suami
Mengatasinya: Nilai semua kesilapan suami, dan betulkan semula apa yang tidak disenangi. Jika masih tidak mahu menerima, tinggalkan dia di rumah untuk memberi ruang dia berfikir


Suami yang tidak memahahami sikap isteri di atas akan bersangka buruk terhadap isterinya malah ada yang menuduh isteri curang.


2. Waktu gembira

1 - Sikap: Dia sudah rajin masak
Maksudnya: Tindakan suami sebelum itu menyenangkan hatinya
Mengatasinya: Teruskan sikap itu, jika perlu puji kerajinannya

2 - Sikap: Dia tidak banyak soal waktu kepulangan suami
Maksudnya: Dia puas hati dengan tindakan suami
Mengatasinya: Ucapkan terima kasih kepada isterinya dan menten keadaan itu

3 - Sikap: Dia siap untuk tidur awal
Maksudnya: Dia sudah akur dengan kehendak suami
Mengatasinya: Belajari sikap dan pengalaman manis itu untuk tidak mengulangi kebencian isteri

4 - Sikap: Dia bercakap dengan nada manja
Maksudnya: Dia mahu suaminya bersikap seperti itu juga
Mengatasinya: Hargai sikap isteri dan jauhi dari sikap kontra


Suami yang tidak faham dengan tindakan isteri akan terus menyangka isterinya ada udang di sebalik batu. Akhirnya suami tidak bertindak yang sewajarnya.


3. Waktu benci

1 - Sikap: Kehendak suami tidak dilayan
Maksudnya: Dia mahu suami mengubah sikap yang buruk
Mengatasinya: Baiki kesilapan bukan mempertahankannya

2 - Sikap: Tidak mahu bercakap apabila ditanya walaupun dengan baik
Maksudnya: Dia memprotes sikap suami yang tidak istiqamah berbuat baik
Mengatasinya: Menilai sikap diri mana yang buruk dibuang dan yang baik diperbanyakkan

3 - Sikap: Makan tidak selera
Maksudnya: Dia mahu simpati daripada suaminya
Mengatasinya: Suami perlu melihat masalah isteri dan cuba selamatkan. Tetapi jangan sampai melanggar syariat

4 - Sikap: Tidur seorang diri
Maksudnya: Dia mahu suaminya bertanggungjawab kepada dirinya
Mengatasinya: Suami perlu menilai kelemahan diri dan cuba membaiki kekurangan itu demi kasih sayang


Oleh sebab tidak faham tindakan isteri suami terus marah kepada isteri. Dan atas sikapnya yang tidak sabar itu mereka bergaduh.



4. Waktu mengharap

1 - Sikap: Muka masam
Maksudnya: Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan
Mengatasinya: Bertanya sebab dan cuba atasi kehendaknya

2 - Sikap: Meminta maaf sambil menangis
Maksudnya: Dia benar-benar insaf
Mengatasinya: Terimalah seadanya dia, dan selepas memaafkannya, nasihatkan berdasarkan kehendak Islam dan apa yang anda mahu

3 - Sikap: Melihat sesuatu barangan dalam tempoh yang lama dan memujinya
Maksudnya: Dia hendak meminta suami membelinya
Mengatasinya: Suami perlu memberi pertimbangan sewajarnya sama ada untuk membelikannya atau tidak


Contoh sikap isteri yang dipaparkan ini mungkin tidak bermaksud begitu, tetapi sebagai suami, tindakan isteri perlu dikaji dengan teliti. Kadang-kadang yang tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Beruntunglah mereka yang boleh menilai dengan tepat. Tetapi yang paling penting semua yang berlaku harus disangka baik. Nanti yang negatif akan menjadi positif.


Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah