InsyaAllah.....

Wednesday, September 30, 2009

Menjaga Adab dan akhlak dalam rumahtangga




Akhlak merupakan elemen penting dalam pembentukan peribadi seorang Muslim. Antara sebab utama Rsulullah saw diutuskan adalah untuk memperbaiki dan membina akhlak yang mulia. Diriwayatkan daripada Abi hurairah, bahawa nabi saw telah bersabda :
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق


Untuk melahirkan keluarga yang harmoni, bahagia, penuh kasih sayang, belas kasihan, belas ihsan lemah lembut, mantap dan cemerlang memerlukan adunan peribadi yang baik.
Dari mana datangnya akhlak yang baik dan terpuji itu jika tidak lahir dari jiwa yang bersih dan kefahaman yang jelas terhadap Potensi Diri Seorang Insan dalam mengharungi kehidupan di dunia.

Akhlak yang terpuji, mulia atau mahmudah melahirkan kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga bahkan bahagia di dunia serta bahagia di akhirat tambahan pula contoh yang diikuti itu merupakan cernaan dari manusia agung kecintaan Allah swt serta utusannya, maka bertambahlah rahmat dan hidayah dalam kehidupan.

Sepasang suami isteri mampu mencernakan akhlak yang baik dengan keikhlasan usaha, latihan dan didikan jiwa yang berterusan.

Sebaliknya keperibadian yang dikeji melambangkan diri yang jauh dari rahmat Allah serta gagal menilai kebaikan dan keburukan.

Kasih Sayang Suami Isteri Adalah Rahmat

Kasih sayang merupakan anugerah Allah swt yang tak terhingga kepada manusia. Tanpa kasih sayang maka akan hilang seri kehidupan ini. kerana itu kita wajib mensyukuri anugerah yang dipinjamkan kepada kita itu sebelum ianya ditarik semula oleh Allah Tuan Punya kasih sayang.

Perasaan cinta dan kasih sayang di antara suami dan isteri juga merupakan rahmat dari Allah swt. Bagaimana Allah datangkan perasaan itu sedangkan masing-masing dibesarkan dan hidup dalam suasana persekitaran yang berbeza dan ibu ayah yang berlainan. Suatu keajaiban sunnah Ilahi yang menjadikan makhlukNya berpasang-pasangan. Kerana itu manusia perlu sentiasa menjaga dan memelihara ia agar menjadi sumber Rahmat dan keberkatan dalam kehidupan ini.

Sesungguhnya Allah swt berfirman dalam Surah Ar Rum;ayat 21 yang bermaksud :

" Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia mencipta untuk kamu ( wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. "

Akhlak dan pergaulan Suami isteri

Dalam Surah An Nisa', ayat 19, Allah memberi isyarat kepada pasangan suami isteri agar memperelokkan pergaulan sesama pasangan, dengan maksudnya :

Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai)benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah pula kamu terburu menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).


Akhlak Suami Cernaan Allah swt....

1. Taqwa : takut,merasai muraqabah Allah, cinta, mengharap rahmat Nya Yang Maha Esa, percaya akan balasan baik dan buruk serta qadha dan qadar Allah, tidak berputus asa. sabar dan tabah mencari redhaNya, memelihara hubungannya dengan Allah, menajuhi larangan Nya, matlamatnya jelas...Syurga

2. Melaksanakan kepimpinan selaku suami : suami mesti mempunyai ciri-ciri dan kemuliaan seorang pemimpin. Dalam kehidupan seorang Muslim Allah swt menerapkan nilai kepemimpinan dalam diri dan diingatkan dalam Hadith baginda saw yang bermaksud : "Setiap kamu adalah Pemimpin(mempunyai tanggungjawab kepimpinan). Dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang di bawah jagaannya".

3. Kasih sayang dan belas kasihan : Dalam sebuah hadith, Riwayat Jarir bin Abdullah :
" قبل رسول الله صلى الله عليه وسلم الحسن بن علي وعنده الأقرع بن حابس التميمي جالسا ، فقال الأقرع : إن لي عشرة من الولد ما قبلت منهم أحدا ، فنظر إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم ثم قال : ( من لا يرحم لا يرحم ) .

Maksudnya : Rasulullah saw telah mengucup Hassan bin Ali sedang di sisinya Al Aqra'. Lalu Al Aqra' berkata; Sesungguhnya aku mempunyai 10 orang anak, namun aku tidak pernah mengucup sorang pun darinya. Lalu Rasul saw memandangnya dan berkat : Orang tidak mengasihi, ia tidak akan dikasih.."

4. Bergaul dengan secara baik : Isteri bukan lah alat untuk melepaskan nafsu kebinatangan atau orang suruhan yang boleh di arah untuk menunaikan apa saja keinginan suami. Bahkan dalam Islam isteri diumpamakan pakaian bagi suami dan merupakan orang kedua dalam rumahtangga serta penyokong kuat kepada suami dalam apa jua keadaan. Oleh itu, suami wajib berakhlak dengan sebaik akhlak seperti yang diajarkan dalam Al Quran dan hadith nabi saw, ketika menggauli isteri.

5. bertanggungjawab : Isteri adalah amanah Allah swt kepada suami. Sebagai suami, dia diwajibkan menunaikan tanggungjawab memberi nafkah zahir dan bathin. Nafkah zahir yang wajib adalah tempat tinggal yang selamat, pakaian untuk menutup aurat, makanan yang mencukupi zat, serta kemudahan perubatan dan lain-lain.

6. Bersikap terbuka dan bertolak ansur : Suami hendaklah sabar mendengar keluhan isteri serta menggunakan sedaya mungkin teknik komunikasi dua hala yang baik dalam menghadapi karenah isteri. Di sini kreativiti amat diperlukan di samping doa.

7. Mengamalkan kebijaksanaan : Kesabaran dan kebijaksanaan suami akan mampu mengelokkan suasana yang keruh dalam rumahtangga. Untuk itu suami perlu tahu dan memahami tingkahlaku dan perangai seorang wanita yang banyak beremosi dan hendaklah berusaha menanganinya secara bijaksana agar tidak timbul kekeruhan dalam rumahtangga yang dibina. Sentiasalah berdoa agar dianugerahkan hikmah dan kebijaksanaan itu. Kerana dengan ilmu semata tidak cukup untuk membina rumahtangga yang harmoni dan berkat.

8. Musyawarah : Suami hendaklah melakukan musyawarah dengan isteri dalam menghadapi satu-satu masaalah dan tidak beremosi.Isteri juga manusia biasa yang beraqal fikiran, jadi suami harus berhadapan dengannya dengan cara berbincang agar isteri sentiasa merasa ia dihargai dan menghormati suaminya.

9. Memberikan contoh yang baik : Suami adalah ketua keluarga. Hidup berkeluarga bukan untuk sementara bahkan bermatlamat untuk mencari redha Allah dan menjaga zuriat keturunan. Oleh itu suami hendaklah mnejaga tingkah lakunya agar isteri dan anak-anak dapat mencontohi akhlak yang baik. Berlemah lembut dalam tegas, bahasa yang sopan semuanya menjadi contoh ikutan ahli keluarga.

10. Menjaga rahsia rumahtangga :

MENANGANI KONFLIK RUMAHTANGGA

Dalam menghadapi konflik, cubalah kita berfikir dan bertindak secara rasional.

Jangan terus merajuk kerana nanti sukar untuk berdamai. Jangan pula tidak bertegur sapa melebihi tiga hari yang boleh menyebabkan berdosa pula.

Elakkan daripada menghukum kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah. Jauhi diri daripada berbohong kerana ini boleh mengurangkan dorongan untuk berbaik-baik semula. Berhentilah daripada menggunakan bahasa yang kasar dan negatif.

Islam membenarkan perceraian sebagai jalan terakhir dalam menghadapi konflik rumah tangga. Walaupun perceraian sesuatu yang halal namun perbuatan tersebut dibenci oleh Allah.

Perbuatan sentiasa mencabar dan meminta cerai kerana sebab-sebab yang remeh dan tidak munasabah adalah dilarang sama sekali.

- Dr Amaludin Abdul Rahman, Penawar Konflik Rumahtangga, Kosmo

APAKAH SUAMI ADA KUASA MUTLAK..?

Apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, maka perempuan tersebut sudah berada dibawah tanggungannya. Perempuan yang merupakan isterinya itu pula, hendaklah meletakkan ketaatan terhadap suaminya melebih dari ibu dan bapanya.


Dalam hadis, Aisyah R.Ha bertanya Nabi SAW dengan katanya;
Maksudnya;
”siapakah manusia yang paling besar hak yang wajib ditunaikan oleh perempuan?”

”suaminya” jawab Nabi

Aisyah bertanya lagi, ”siapa pula manusia yang paling besar hak yang wajib ditunaikan oleh lelaki”

”ibunya” Nabi SAW memberikan jawapan[1].

Dalam hadis ini, kita dapat melihat bahawa Nabi SAW meletakkan asas bahawa seseorang isteri, ketaatan yang hendak diberikan perlu didahulukan suaminya berbanding keluarganya.

Pun begitu, bukanlah keadaan ini membenarkan seseorang suami itu mempunyai kuasa mutlak terhadap isterinya, sehingga menyebabkan dia boleh lakukan apa sahaja terhadap isterinya.

Sesungguhnya ketaatan terhadap makhluk tidak mutlak sepertimana ketaatan terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Sabda Nabi SAW;

Maksudnya;
”Dengar dan taat merupakan kewajipan seseorang muslim pada perkara, sama ada dia suka atau dia benci. Itupun, selama tidak disuruh melakukan maksiat. Sekiranya disuruh melakukan maksiat, maka tidak ada dengar dan taat lagi[2]”

Justeru, ketaatan seseorang isteri terhadap suaminya masih lagi terbatas. Sekiranya suruhan itu berbentuk maksiat, maka ketaatan terhadap suami itu terbatal.

PUTUS SILATURAHIM

Ada sebilangan suami yang bertindak dengan sesuatu tindakan yang boleh menyebabkan isterinya terputus hubungan silaturahim dengan keluarganya. Dalam keadaan sedemikian, isteri tidak perlu mentaati terhadap tindakan atau suruhan suaminya itu.

Ini kerana, mengadakan hubungan silaturahim merupakan tuntutan syarak. Bermakna, apabila seseorang itu bertindak untuk memutuskan hubungan silaturahim, maka dia telah melanggar tuntutan syarak. Justeru, ia adalah perbuatan yang diharamkan oleh islam.

Sabda Nabi SAW;

Maksudnya;
”tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim[3]”

Pun begitu, melakukan hubungan silaturahim bukan sekadar dengan berziarah sahaja. Sebaliknya, dengan cara bertelefon, berutusan surat, e-mail, SMS dan sebagainya juga sudah memadai untuk dikatakan sebagai mengadakan hubungan silaturahim.

Justeru, sekiranya seseorang suami tidak membenarkan isterinya menziarahi rumah keluarganya. tetapi, dia membenarkan isterinya mengadakan hubungan silaturahim dengan ibubapanya melalui cara-cara yang lain, maka ketika itu, haram seseorang isteri melanggar arahan suami dengan meninggalkan rumah untuk menziarahi keluarganya.

SUAMI TERHADAP ANAK PEREMPUAN

Ada sebilangan kes, yang mana seseorang bapa memaksa anaknya berkahwin dengan lelaki pilihannya, tanpa mendapat persetujuan dari anak perempuannya sendiri dengan alasan, bapanya itu dikira sebagai ”wali ijbari” iaitu wali yang boleh memaksa anaknya kahwin.

Tindakan sebegini menyanggahi maqasid Islam yang meletakkan asas perkahwinan sebagai sesuatu ketenangan, kasih sayang dan membahagiakan kehidupan.

Firman Allah;

Maksudnya;
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

(Surah Ar-Rum : 21)

Lantaran itu, tidak hairan kalau kita membaca satu kisah dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasai, iaitu kisah yang berlaku kepada seorang anak gadis yang dipaksa berkahwin oleh bapanya dalam keadaan dia tidak bersetuju dengan pilihan bapanya.

Dia telah berjumpa dengan Aisyah R.Ha, melaporkan kejadian itu kepada Aisyah bahawa dia dikahwinkan oleh bapanya dengan sepupunya tanpa persetujuannya. Aisyah memaklumkan perkara ini kepada Rasulullah SAW.

Mendengar itu, Rasulullah SAW mengarahkan agar bapa anak gadis itu hadir. Lalu, Nabi SAW memberikan hak anak gadis itu pada dirinya sendiri dihadapan bapanya[4].

Dari kisah ini, kita akan dapat memahami bahawa seseorang bapa –hakikatnya- tidak boleh memaksa anak gadisnya berkahwin dengan sesiapa yang dipilihnya, tanpa mendapat persetujuan dari anak gadisnya sendiri. Sebaliknya, sesuatu keputusan hendak mengkahwinkan anak gadisnya, hendaklah mendapat persetujuannya terlebih dahulu, waimma lelaki itu adalah pilihan si bapa sekalipun.

Sabda Nabi SAW;

Maksudnya;
“seseorang anak gadis tidak boleh dinikahkan hinggalah diminta izin daripadanya. Seseorang janda tidak boleh dikahwinkan melainkan mendapat persetujuannya

Sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, bagaimana izinnya itu?”

“apabila dia berdiam diri” jawab Nabi SAW ringkas[5].

Dari hadis ini, kita dapat melihat bagaimana Nabi SAW menekankan persetujuan dengan cara meminta izin terlebih dahulu dari anak gadis yang mahu dinikahkan. Bermaksud, walau bapanya itu mempunyai kuasa “wali ijbari” terhadap anak gadisnya, tetapi kuasa tersebut bukan bersifat mutlak, malah hendaklah mendapat persetujuan dari anak gadisnya terlebih dahulu.

Sekian

p/s : artikle ini adalah ulasan dan olahan yang merujuk kepada kitab Fatawa Maasarah karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi di jilid pertama dan jilid kedua ttg perempuan dan kekeluargaan.

Wallahu ‘Alam

BENCANA KEJAHILAN INTIMASI SUAMI ISTERI

“Cuba ustaz fikir, semasa isteri saya mengandung, kami tidak berhubungan sehingga 7 bulan!” keluh seorang lelaki kepada saya.

“Berat tu. Macam-macam benda boleh jadi,” saya menjawab.

“Ya. Separuh gila saya dibuatnya,” katanya lagi.

Benar… tidak mudah untuk kaum lelaki diajak berbincang tentang rumahtangga mereka. Justeru saya tidak mengajak, namun cuba memenuhi permintaan apabila diajak. Perbualan secara personal, lebih memberi keselesaan.

Tugas saya pula bukanlah untuk menyelesaikan masalah rumahtangga sesiapa. Malah seorang kaunselor profesional juga tidak bertanggungjawab menyelesaikannya. Tetapi perbualan seperti ini, berfungsi untuk meleraikan kekusutan fikiran dan mengatur pandangan tentang hal-hal yang sudah kelam pandangan di atas bahu pemikulnya. Tindakan penyelesaian harus dilakukan sendiri oleh mereka yang berdepan dengan masalah itu.

BENCANA KETIKA BERPANTANG

[2-187]

“… Isteri-isteri kalian itu adalah sebagai pakaian bagi kalian dan kalian pula sebagai pakaian bagi mereka…” [Al-Baqarah 2: 187]

Terlalu banyak kes yang berlaku, rumahtangga dipukul badai semasa isteri mengandung dan berpantang. Ada masanya, seorang suami tidak dapat mengadakan hubungan intim dengan isterinya pada suatu tempoh yang amat panjang atas sebab yang pelbagai.

Ada isteri yang alah kepada bau suami semasa mengandung! Besar sungguh ujiannya.

Ada isteri yang dingin dan hilang keinginan tatkala dirinya berbadan dua. Suami menderita dan dirinya bersahaja.

Dan tidak dinafikan suami dan isteri ‘tidak berpengetahuan’ tentang kaedah-kaedah yang diharuskan oleh Syara’ untuk mereka bersama dalam keadaan diri yang terbatas.

PENGETAHUAN TENTANG SEKS

“Berhentilah melucahkan seks!”, banyak kali saya cuba mempopularkan terma ini.

Melucahkan seks bermaksud menjadikan seks sebagai subjek yang taboo, menjadi bahan ketawa dan senyum senget atas pelbagai persepsi mengenainya. Malah mungkin dianggap ‘gatal’ atau ‘gelenyar’ mengikut istilah Pantai Timur, tatkala seks mahu diperkatakan.

Lebih buruk, apabila seks menjadi bahan gurau senda dan bahan ketawa, hingga hilang kehormatan dan maruah subjek seks untuk ia diajar dan dipelajari.

Besar kekhuatiran dalam fikiran saya, memikirkan betapa peraturan-peraturan intimasi antara suami dan isteri menjadi subjek yang terlalu asing dari kita. Fikirkanlah bagaimana seorang suami yang jahil tentang kaedah intimasi mereka, berdepan dengan situasi yang menghalang mereka daripada mengadakan hubungan intimasi dek keterbatasan pengetahuan tentang cara, pilihan dan ruang-ruang yang diberikan oleh Islam.

Isteri mengandung.

Isteri berpantang dengan nifas.

Suami yang lemah tenaga batin.

Suami yang keletihan akibat tekanan kerja.

Kesemua situasi ini merupakan rutin atau masalah biasa yang mendatangi kehidupan berumahtangga dari semasa ke semasa. Bagaimanakah keadaan hubungan suami isteri, jika timbul sahaja keadaan seperti ini, mereka mengalah daripada melaksanakan salah satu maksud perkahwinan iaitu memenuhi naluri seksual seorang lelaki dan perempuan?

Ini belum mengambil kira soal tiadanya ransangan-ransangan yang sepatutnya menjadi hiasan hubungan antara suami dan isteri.

Isteri siang malam berbaju kelawar bertepek muka dengan bedak sejuk, tangan berbau bawang dan sanggul senget benget berikat gelung getah kuning. Suami pula selekeh dengan singlet Pagoda®, berkain pelekat, berbau hapak dan berjanggut berjambang tidak dikemas.

Apakah nilai rumahtangga yang ada pada suami dan isteri seperti ini?

‘SUNNAH OLEH PELACUR SIAM’

Terkenang saya kepada perbualan saya beberapa tokoh masyarakat yang peduli akan hal ini. Salah seorangnya menceritakan kepada saya bagaimana beliau pernah menjalankan siasatan tentang modus operandi pelacur-pelacur Siam yang ada di negara kita.

“Ustaz tahu apa yang pelacur itu buat?” tanya beliau kepada saya.

“Emm, manalah saya tahu!”, saya ketawa kecil memikirkan kepelikan soalan yang ditanya.

“Semasa menerima pelanggan, perkara pertama yang dilakukan oleh pelacur itu ialah memandikan pelanggannya hingga bersih. Siapa yang buat perkara ini?” tanya beliau kepada saya.

“Isteri Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam,” saya memahami maksud beliau.

“Selepas dimandi, pelacur Siam ini mengetip kuku pelanggannya hingga kemas dan bersih. Siapa yang buat perkara ini?” tanyanya lagi.

“Juga isteri baginda”, saya menambah.

“Itulah isunya. Segala bentuk layanan intimasi yang diajar oleh Sunnah, tidak pernah diamalkan dalam rumahtangga orang kita. Siapa yang amalkan Sunnah itu? Pelacur Siam!!!” kata beliau dengan penuh tegas.

“Semasa menerima pelanggan, perkara pertama yang dilakukan oleh pelacur itu ialah memandikan pelanggannya hingga bersih. Siapa yang buat perkara ini?” tanya beliau kepada saya.
“Isteri Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam,” saya memahami maksud beliau.

“Mereka belajar di kuil Siam, teknik-teknik melayan lelaki mengikut legasi yang ada dalam budaya mereka,”, kongsi beliau dengan saya.

ILMU YANG TERPINGGIR

Bencana sungguh hal ini. Kaedah-kaedah suami melayan isteri dan isteri melayan suami, dirakam dengan baik, penuh kehormatan dan terpeinci di dalam Sunnah Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam, tetapi mahukah kita mempelajarinya? Malah sebelum itu, bagaimanakah persepsi kita tentang hal ini?

Semua itu adalah sebahagian daripada Sunnatullah yang memenuhi naluri manusia. Sunnatullah itu begitu, siapa buat dia dapat, siapa tinggal, terimalah akibat!

Jika isteri di rumah tidak peduli akan hal ini, tanpa mawaddah dan rahmah, bagaimana mungkin kita menolak kemungkinan suami mencari yang lain?

Jika suami tidak peduli akan keperluan isterinya, hanya memikirkan kepuasan diri sendiri, maka tanpa mawaddah dan rahmah dalam sebuah rumahtangga, bagaimana mungkin kita menolak kemungkinan isteri terbabit dalam pelbagai skandal yang menjijikkan?

Kita mempromosi perkahwinan sebagai jalan untuk mencegah zina, tetapi bagaimanakah rumahtangga yang tidak berfungsi dalam memenuhi naluri suami dan isteri boleh mencegah zina? Akhirnya calon penzina yang dihukum sebat oleh Islam, membiak menjadi calon penzina yang dihukum rejam hingga mati! Penzina dari kalangan lelaki dan perempuan yang sudah berumahtangga!

ANTARA HAK DAN PERANAN

Namun, semua ini sulit untuk berfungsi dengan baik di dalam sebuah rumahtangga apabila masing-masing bercakap tentang hak dan bukannya peranan. Siapakah yang bisa menunaikan hak isteri jika suami menolak peranan dengan alasan letih, sibuk, atau dengan celanya memberikan alasan “mana ada Tuhan laknat suami yang menolak isteri!” Astaghfirullah al-Adheem.

Siapakah yang bisa menunaikan hak suami jika isteri menolak peranan dengan alasan letih, alah, mengandung, berpantang dan lain-lain?

Akan tetapi jika suami dan isteri kembali kepada konsep hidup memberi, dan lebih memikirkan peranan berbanding hak yang diminta tunai itu, maka suami akan memainkan peranannya, walaupun sekadar untuk memenuhi keperluan isteri dan tidak dirinya. Seorang isteri akan memainkan peranannya, walaupun sekadar untuk memenuhi keperluan suami dan tidak dirinya.

Panduannya mahu dicari di mana?

Jangan taip di Google secara semberono.

Tetapi carilah pelajaran-pelajaran itu dari sumber kita yang sedia ada.

IA ILMU YANG BERMANFAAT

Sunnah mengajar kita bagaimana ketika Aisyah Radhiyallahu ‘anha berada dalam keadaan berhadas besar (berhaidh), Nabi Muhammad Sallallahu ‘alayhi wa sallam meminta Aisyah memakai pakaian yang khusus agar baginda dapat bermesra dengan isterinya tanpa melanggar batas-batas syara’. Malah Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam juga pernah mencium isteri baginda ketika berpuasa.

Hal-hal ini terakam dengan baik di dalam Sunnah Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam.

Mereka yang belajar Sunan Sittah akan pasti bertemu dengan banyak riwayat berkaitan dengan peraturan dan hubungan intimasi di antara baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam dengan isterinya. Kesemuanya diceritakan dengan penuh tertib dan adab, tersedia sebagai ilmu yang bermanfaat untuk suami dan isteri.

Antara contoh buku yang baik, mengumpulkan hal-hal yang sebegini, adalah buku The Muslim Family Vol. 2: Closer Than A Garment: Marital Intimacy According to the Pure Sunnah oleh Muhammad al-Jibaly.

Mungkin banyak lagi pilihan yang ada, namun kita harus berusaha mencari, menyaring dan menapisnya. Perlu saya ingatkan, budaya melucahkan seks masih menebal di dalam masyarakat kita, maka buku-buku yang kononnya bertujuan membimbing pasangan yang berkahwin mengikut lunas Islam, ia ditulis dengan bahasa-bahasa songsang yang menimbulkan keaiban.

BERCAKAP TENTANG SEKS DENGAN PASANGAN

Justeru dalam keterbatasan sumber yang membelenggu kita, kaedah terbaik ialah dengan berbincang dan bercakap dengan pasangan masing-masing tentang keinginan suami dan isteri. Jangan terasa aib untuk berbincang dengan isteri berkenaan dengan perkara-perkara yang boleh membantu suami memenuhi keinginan dirinya, selagi mana hal ini berada dalam lingkungan keharusan syara’. Tanyalah suami, apakah bentuk layanan yang beliau mahukan agar keinginan dapat ditunaikan, tanpa perlu beliau itu liar kemahuannya meninggalkan yang halal mencari yang haram.

Jangan pula begitu selamba berlawak dan bersembang lucah di tempat kerja, tetapi malu dengan pasangan sendiri! Kalau dengan kawan bukan main lagi, tetapi dengan suami sendiri atau isteri sendiri, terasa beku, kaku dan buntu. Jika Islam melarang suami isteri bercakap tentang seks semasa ihram, ertinya di luar ihram, jadikanlah seks sebagai sebahagian daripada perkara yang diperkatakan antara suami dan isteri.

Jangan lucah di daerah yang haram, terpinga-pinga di medan yang halal. Nanti dilaknat Tuhan!

Saya mengingkari perbuatan suami yang menyelesaikan krisis rumahtangganya dengan maksiat. Malah juga berpoligami secara semberono tanpa usul periksa. Tetapi sebelum kesalahan keretakan rumahtangga banyak dibebankan ke atas suami, bagaimana pula dengan kesungguhan isteri berperanan dalam memelihara hubungannya dengan suami?

Semoga jangan kesedaran ini hanya timbul, selepas pelacur Siam muncul!

Moga dilindungi Allah dari bencana sedemikian rupa, Ameen.

Tuesday, September 29, 2009

BEBERAPA TIPS YANG MUNGKIN BERGUNA

Tips Rumahtangga Yang Bercirikan Syurga

1. Meningkatkan ilmu pengetahuan pada seisi rumah itu.
2. Penghayatan agama yang berterusan.
3. Memastikan seisi rumahtangga dalam keadaan sihat sejahtera dan aman damai.
4. Perlu adanya pengukuhan ekonomi.
5. Komunikasi yang berkesan.
6. Wujudnya kemesraan antara suami dan isteri.
7. Suasana rumahtangga yang selesa.


Tips Komunikasi Keluarga Bahagia

1. Berkongsi melakukan tugasan di rumah
2. Berbincang dalam membuat perancangan sesama ahli keluarga atau sebelum
membuat keputusan yang memberi kesan kepada keluarga
3. Menggunakan humor yang bersesuaian untuk mengurangkan ketegangan
yang disebabkan oleh konflik yang mungkin berlaku.
4. Meraikan hari ulangtahun perkahwinan dan hari lahir bersama ahli keluarga.
5. Makan berjamaah / makan malam bersama.
6. Beribadah secara berjemaah.
7. Riadah bersama keluarga atau membawa keluarga pergi bercuti di tempat
yang bersesuaian.

Tips Komunikasi ke Arah Meningkatkan Kasih Sayang Berkekalan

1. Berkongsi impian dan tugasan di rumah.
2. Tidak mudah dan tidak sesekali merasa kecewa walaupun menempuh cabaran
dan masalah dalam rumahtangga.
3. tidak berdendam-kesumat antara satu sama lain.
4. Sentiasa memohon maaf dan memaafkan kesilapan masing-masing.
5. Sentiasa mencari emas dalam diri pasangan.
6. Menganggap pasangan sebagai kawan yang paling akrab.
7. Sentiasa bersolat jemaah dan saling doa mendoakan pasangan.
8. Berterus terang mengenai perselisihan yang kecil untuk mengelakkan
konflik yang lebih besar.
9. Memahami kepentingan hubungan seks.
10. Mencari perubahan untuk merangsang perubahan dalam rumahtangga.

Tips Komunikasi Berkesan Pasangan Suami Isteri

1. Berdoa kepada Allah S.W.T untuk sentiasa disayangi oleh pasangan.
2. Sentuh dan tegur pasangan sebelum menyambung kerja lain apabila pasangan
balik ke rumah.
3. Berlatih untuk menjadi pendengar yang baik.
4. Memberi pujian kepada pasangan mengenai penampilan masing-masing dan
memberi galakan kepada perubahan yang cuba dibuat oleh pasangan.
5. Memujuk apabila pasangan marah atau berkecil hati
6. Ucapkan kata-kata sayang atau romantik dua kali sehari.
7. Memberi perhatian terhadap perkara yang disampaikan oleh pasangan dengan tekun.
8. Peluk pasangan dengan penuh kasih sayang tujuh kali sehari.
9. Ucapkan terima kasih atas setiap khidmat yang diberikan oleh pasangan.
10. Sentiasa memastikan bilik tidur dalam keadaan kemas seperti baru berkahwin.

RUMAH KU SYURGA KU......

Mengapa sukar bahagia? Kadangkala kita seringkali bertanya di manakah kebahagiaan itu atau mungkin juga kita memikirkan mengapa kebahagiaan itu sukar hadir dalam istana yang kita bina bersama pasangan atau ada yang bertanya mengapa kebahagiaan saya kian menjauh.

Sebenarnya jawapan kepada kesemua persoalan itu ada di dalam diri kita sendiri. Yang menjadi musuh kita selama ini adalah sikap. Mahu atau tidak mahu sahaja untuk berubah. Bermulalah dengan mendefinisikan syurga rumahtangga anda sendiri.

Hakikat yang mesti diterima adalah syurga orang lain tidak mungkin sama dengan apa yang ingin dibina oleh kita. Ayat yang lebih mudah, kebahagiaan dalam kamus kita mungkin berbeza dengan kamus kebahagiaan orang lain. Merasa bahagia itu terlalu subjektif untuk dihuraikan. Jadi, ciptakan kebahagiaan itu sekarang sebelum kita kehilangannya.

Ada beberapa perkara yang kita anggap remeh namun ianya amat berkesan dalam membina perhubungan berumahtangga antara kita dan pasangan. Ianya termasuklah mengelipkan mata pada pasangan sesekali, memilih lagu yang boleh dinyanyikan bersama sewaktu memandu atau ketika beristirehat di rumah pada hujung minggu dan hari cuti atau setidak-tidaknya suami menyediakan sarapan untuk isteri dan anak-anaknya.

Tanya lah diri adakah kita mempraktikkan kesemua perkara di atas. Mungkin dalam 50, hanya seorang yang berbuat demikian atau tiada langsung.

Tiada salahnya memulakan setiap hari baru dengan kucupan mesra untuk pasangan. Ini bukan sahaja membuatkan pasangan merasa dihargai dan disayangi malah memcambahkan lagi benih-benih cinta dan menyemarakkan kasih sayang dalam ‘istana’ yang dibina.

Pernahkah kita bertanya ‘sesekali’ kepada pasangan, “Apakah yang saya boleh buat untuk membuatkan awak merasa bahagia?” Pernahkah kita bertanya begitu? Tepuk dada tanyalah selera!

Tidak sukar sebenarnya untuk mencipta bahagia. Jika orang lain boleh bahagia dengan cara mereka, kita juga punya cara untuk mencipta bahagia di dalam ‘syurga impian’ kita menurut kepada acuan kita sendiri.

Tidak sukar sebenarnya! Berubahlah sedikit demi sedikit. Paling utama selalulah berdoa kepada Allah untuk pasangan dan anak-anak. Mohonlah untuk kekalkan keharmonian dalam kehidupan berumahtangga. Bukankah Allah berfirman, antara lain maksudnya : “ Mohonlah kepada Aku nescaya Aku akan kabulkan.